fbpx
Seramai 223 pelatih wanita ketika melakukan kawad pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di ibu negara, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

223 Wira Muda Negara wanita Siri 3/2025 tamat latihan PLKN 3.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 223 peserta wanita daripada keseluruhan 419 Wira Muda Negara menamatkan latihan selama 45 hari di Kem Askar Wataniah, Kementah, hari ini, sekali gus menandakan berakhirnya Siri 3/2025 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.

Majlis tamat latihan berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Dr. Abdul Aziz Zainal, yang turut menyampaikan sijil kepada para pelatih.
Beliau berkata, kejayaan menamatkan latihan ini bukan sekadar simbol tamat program, tetapi bukti semangat juang dan disiplin tinggi yang masih membara dalam diri anak muda Malaysia.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua Wira Muda. Anda telah membuktikan kekuatan fizikal, mental serta semangat setiakawan tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika berucap pada Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 3/2025 di kem tersebut.

Abdul Aziz turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga yang memberi kepercayaan serta restu kepada anak-anak mereka untuk menyertai program kebangsaan itu.

Katanya, sokongan keluarga menjadi faktor penting melahirkan generasi muda berjiwa patriotik dan berdisiplin tinggi, selaras dengan aspirasi membina masyarakat MADANI.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih dan warga kerja Rejimen 505 Askar Wataniah, yang komited membimbing peserta sepanjang tempoh latihan.

“Usaha gigih mereka telah berjaya menyemai nilai-nilai murni seperti disiplin, perpaduan dan tanggungjawab dalam diri setiap peserta,” ujarnya.

Tambah beliau, PLKN 3.0 membuktikan kerjasama erat antara kerajaan, agensi berkaitan dan masyarakat masih utuh dalam memastikan program itu kekal relevan dengan semangat kebangsaan.

Selama 45 hari, peserta menjalani pelbagai latihan termasuk modul ketahanan fizikal, pembinaan sahsiah, kepimpinan, dan semangat kerja berpasukan yang disusun bagi memperkukuh jati diri.

Abdul Aziz berkata, pengalaman itu menjadikan pelatih lebih yakin, cekal, dan bersedia berdepan cabaran semasa terutama dalam era teknologi dan maklumat kini.

Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 3/2025 yang diadakan secara serentak di dua kem hari ini yang menyaksikan seramai 525 orang pelatih (340 lelaki & 223 wanita) berjaya menamatkan latihan yang
bermula 7 September sehingga 21 Oktober 2025 yang lalu.

Dalam majlis yang sama, Anugerah Wiramuda Ulung turut disampaikan kepada Nur Farahin binti Ilias selaku pelatih wanita terbaik kem 515 bagi siri kali ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI