KULIM – Polis mengesahkan insiden letupan mercun di tepi Jalan Paya Besar, di sini tengah malam tadi yang mengakibatkan 22 lelaki mengalami kecederaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim di sini dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kesesakan lalu lintas di lokasi tersebut sebelum mendapati ramai orang awam cedera akibat letupan mercun.
“Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) digerakkan ke lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas dan orang ramai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, setibanya di lokasi tersebut, orang ramai berkumpul di tepi jalan dengan beberapa mangsa cedera di badan dan tangan akibat terkena serpihan belerang mercun.
“Dua ambulans bergegas ke tempat kejadian untuk memberikan rawatan awal kepada mangsa. Seorang lelaki parah di kepala, manakala mangsa-mangsa lain mengalami luka kecil,” ujarnya.
Katanya, mangsa terdiri daripada 21 rakyat tempatan dan seorang warga Bangladesh. Seorang lelaki mengalami luka sedalam lima sentimeter di dahi.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas sekumpulan orang awam menyalakan bunga api sempena sambutan Deepavali namun satu daripada mercun tersebut meletup berhampiran orang ramai.-KOSMO! ONLINE.