PETALING JAYA – Seorang lelaki yang maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Batang Kali, Hulu Selangor hari ini merupakan pekerja kepada usahawan terkenal, Bonda Rozita Ibrahim.
Bonda Rozita menerusi hantaran Instagram berkata, Sir Ahmad Al Faruq Mohamad Fatihur Rahman, 20, ketika kejadian sedang memandu kenderaan pikap Toyota Hilux milik syarikatnya.
“Hujan lebat yang memilukan. Staf bonda teresak-esak menangis, tak percaya apa yang mata sendiri menyaksikan. Dalam sekelip mata, pokok besar jalan utama menuju ke Genting, tumbang menghempap Hilux milik syarikat Bonda.
“Nyawa staf kami masih muda, bongsu dalam keluarga, baru berusia 20 tahun diragut dalam tragedi ngeri ini. Pihak bomba, polis dan ambulans bertungkus lumus mengeluarkan mangsa.
“Suasana sunyi hanya kedengaran esakan dan raungan seorang ibu kehilangan anak. Ayah tua pula berdiri kaku, menahan pilu melihat jenazah anak pergi tidak kembali,” katanya pada hantaran itu hari ini.
Beliau berkata, pekerjanya merupakan anak muda yang datang bekerja mencari rezeki halal.
“Penuh semangat belum pun sempat meniti dewasa, kini pergi dijemput Ilahi. Sedekahkan al-Fatihah kepada arwah Sir Ahmad Al Faruq,” katanya.
Bonda Rozita turut membangkitkan isu pokok dikatakan telah reput di kawasan kejadian sekali gus meminta pihak yang berkenaan mengambil tindakan.
Malah, katanya, kejadian pokok tumbang sehingga meragut nyawa pekerjanya bukan sekadar takdir, tetapi kelalaian manusia apabila keselamatan diabaikan.
“Sampai bila nyawa manusia mahu dipandang ringan? Mana pihak yang sepatutnya memantau keselamatan jalan utama pengunjung? Pokok-pokok reput dibiarkan berdiri menunggu masa menimpa mangsa seterusnya.
“Pelbagai isu keselamatan sering diabaikan, orang awam bebas berkelah tanpa pengawasan, kawasan parkir pula terlalu sesak setiap hujung minggu. Semuanya bom jangka yang menunggu masa untuk meragut nyawa,” katanya.
Beliau turut merayu supaya kejadian menimpa pekerjanya itu tidak dibiarkan berlalu tanpa pengajaran.
“Jangan diamkan, ini nyawa manusia, bukan angka dalam laporan. Punca kematian mesti disiasat. Semua pengusaha resort wajib memantau keselamatan untuk staf dan juga pengunjung.
“Sebagai pengusaha berlesen, bonda terikat pelbagai syarat serta pemantauan ketat oleh pihak kerajaan negeri. Tetapi yang tidak berlesen? Terus beroperasi tanpa kawalan dan tanpa tanggungjawab?
“Di sebalik setiap angka kematian, ada keluarga yang hancur. Ada ibu yang kehilangan, ada ayah yang hilang kekuatan dan ada jiwa-jiwa yang takkan pernah sama lagi,” katanya.
Hari ini Kosmo! melaporkan, seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Batang Kali, Hulu Selangor hari ini. – KOSMO! ONLINE