fbpx
Keadaan motosikal Yamaha 135 LC yang terlibat dalam kemalangan maut di KM 61, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Kampung Rahmat, Setiu hari ini.

Tukang masak maut, motosikal bertembung dengan Proton X70

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIU – Seorang tukang masak maut selepas motosikal ditunganginya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 di Kilometer 61, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Rahmat di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 11.37 pagi, mangsa, Loh Eng Keat, 61, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Eng Keat yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari arah Kota Bahru, Kelantan.

“Kenderaan SUV jenis Proton X70 pula dinaiki empat sekeluarga dikatakan dalam perjalanan ke Kota Bahru dari rumah mereka di Durian Burong, Kuala Terengganu.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan yang berlainan arah itu dikatakan telah bertembung sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan Eng Keat sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat tukang masak restoran terbabit telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut.

“Empat sekeluarga berusia dalam lingkungan 68 hingga 7 tahun yang menaiki kenderaan Proton X70 terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI