WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas beliau memuat naik video yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) pada lewat malam semalam, lapor akhbar New York Post.
Video itu memaparkan Trump sebagai juruterbang pesawat pejuang dan memakai mahkota. Ia menyembur sisa kumbahan ke atas penunjuk perasaan yang menentang dasar-dasar beliau di AS kelmarin.
Dengan lagu tema ikonik ‘Danger Zone’ daripada filem Top Gun, video itu memperlihatkan jet pejuang Trump menggugurkan timbunan najis ke atas penunjuk perasaan di kawasan yang kelihatan seperti Bandar Raya New York.
Klip video berdurasi 19 saat itu turut memaparkan rakaman wajah pesohor media sosial berhaluan kiri, Harry Sisson yang disimbah dengan sisa kumbahan berwarna coklat bersama penunjuk perasaan.
Ia diambil daripada rakaman sebenar Sisson semasa perhimpunan ‘No Kings’ di Times Square, New York.
Jet pejuang dalam video tersebut turut tertera tulisan ‘King Trump’ ketika ia meluncur di langit Manhattan.
“Bolehkah wartawan bertanya kepada Trump, kenapa beliau memuat naik video AI yang menunjukkan dirinya menggugurkan najis ke atas saya dari jet pejuang? Itu memang menarik, terima kasih,” kata Sisson, 23, di platform X.
Trump memuat naik video tersebut di platform Truth Social miliknya beberapa jam selepas puluhan protes dikenali sebagai ‘No Kings’ tercetus di seluruh negara sebagai tanda bantahan terhadap pentadbiran beliau. – AGENSI