KULIM – “Waktu itu saya tengok bunga api, memang meriah sebelum tiba-tiba rasa panas dan sakit pada perut dan kaki.”
Demikian kata Norzainah Ismail, 46, salah seorang daripada 22 mangsa yang cedera dalam kejadian letupan mercun di tepi Jalan Paya Besar, di sini tengah malam tadi.
Katanya, kejadian berlaku ketika dia bersama ahli keluarga menyaksikan pertunjukan bunga api sempena sambutan Deepavali.
“Selepas terkena percikan mercun itu, saya dah tak boleh jalan sebelum anak bawa saya ke Hospital Kulim untuk rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kulim, di sini hari ini.
Dia sebelum itu menerima kunjungan wakil khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail iaitu Saiful Ambar Abdullah Ambar.
Seorang lagi mangsa, Pasupathi Ratnam, 74, dari Bertam, Pulau Pinang berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarganya sedang berjalan menuju ke kereta berhampiran kawasan itudan terdengar bunyi dentuman kuat sebelum tangannya cedera.
“Jarak kereta dengan kawasan kejadian kira-kira 50 meter. Saya berada di belakang kereta dan ada beberapa gerai berhampiran tetapi serpihan tetap kena pada tangan saya.
“Selepas itu saya lihat keadaan jadi kelam-kabut apabila ramai yang turut tercedera,” katanya yang terkilan kerana terpaksa menyambut Deepavali di hospital.-KOSMO! ONLINE