PETALING JAYA – Sime Motors telah menganjurkan majlis gilang-gemilang bersempena sambutan ulang tahun ke-45 syarikat yang bertemakan Orchestrating Excellence: Celebrating 45 Years of Sime Motors in Malaysia (Meraikan Kecemerlangan 45 Tahun Sime Motors di Malaysia).
Majlis tersebut diraikan bersama pihak-pihak berkepentingan paling dihargai Sime Motors untuk
menghayati dan menyaksikan persembahan Orkestra Filharmonik Malaysia yang memukau dengan mempersembahkan muzik bertaraf dunia di bawah arahan konduktor terkenal Gerald Salonga, dengan kehadiran pemain piano Liu Muyu dan penyanyi terkemuka Malaysia Aina Abdul.
Persembahan mereka menghiburkan penonton dan memeriahkan lagi malam sambutan yang diadakan sebagai penghormatan kepada kepimpinan dan sumbangan 45 tahun Sime Motors kepada industri automotif tempatan.
Pengarah Urusan Sime Motors, Andrew Basham berkata, mercu jaya ini meraikan insan dan pakatan yang telah membolehkan syarikat mencapai kejayaan sehingga kini.
“Selama tempoh 45 tahun itu, kami telah berganding bahu dengan prinsipal, pelanggan dan kakitangan kami untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap peringkat perjalanan automotif yang dilalui.
“Meninjau ke hadapan, kami komited untuk terus mempelopori inovasi, mengukuhkan pakatan dan mewujudkan pengalaman luar biasa bagi para pelanggan kami di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Salah satu sorotan penting pada malam penghargaan tersebut adalah pengiktirafan yang
diberikan kepada prinsipal dan rakan kongsi jenama Sime Motors, yang telah
memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan syarikat.
Tanda penghargaan telah disampaikan oleh Basham bersama Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motors, Jeffrey Gan kepada wakil-wakil dari BMW Group Malaysia, BYD, DENZA, Ford Malaysia, Hyundai Malaysia, Jaguar Land Rover, Porsche Malaysia dan Volvo Cars Malaysia
atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka selama ini. -KOSMO! ONLINE