SUBANG JAYA – Seorang anggota polis berpangkat Sarjan sebelum ini dilaporkan hilang selepas meninggalkan kediamannya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada Rabu lalu ditemui selamat awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, anggota terbabit dikesan pulang ke kuarters Balai Polis USJ 8 kira-kira pukul 1.45 pagi.
“Anggota balai yang bertugas mengesan pergerakan kenderaan milik anggota berkenaan memasuki kawasan kuarters sebelum menghubungi pegawai penyiasat.
“Pegawai penyiasat kemudian membawa anggota tersebut ke Balai Polis USJ 8 dan memaklumkan kepada isterinya untuk hadir membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati anggota berkenaan berada dalam keadaan selamat dan sihat.
“Sepanjang tempoh anggota menghilangkan diri, dia berada di Masjid sekitar Morib, Banting dan Masjid sekitar Putra Heights,” jelasnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang anggota polis berpangkat Sarjan dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di kuarters IPD Subang Jaya pada Rabu lalu.
Wan Azlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan anggota berkenaan, Mohd. Fadhil Mohamed @ Ahadiah, 40, kira-kira pukul 9.15 malam Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE














