MELAKA – Seorang remaja perempuan cedera dipercayai akibat ditikam di bahagian belakang badan ketika menunggang motosikal di Solok Tangga Batu, Tanjung Kling, di sini, petang tadi.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.30 petang apabila mangsa yang menunggang motosikal sendirian dikatakan dihampiri sebuah motosikal lain yang dinaiki dua lelaki sebelum salah seorang daripadanya menikamnya dari arah belakang.
Mangsa yang cedera kemudian dibantu oleh orang awam di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka dengan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
Beberapa keping gambar turut tular di aplikasi WhatsApp memaparkan keadaan mangsa dengan kesan darah di bahagian belakang badan.
Setakat 9.30 malam tadi, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.-KOSMO! ONLINE