HONG KONG – Dua orang maut selepas sebuah pesawat Boeing 747-400 tergelincir dari landasan lalu terjunam ke dalam laut di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, lapor laman berita The Sun UK hari ini.
Pesawat kargo dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu melanggar sebuah kereta sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam laut kira-kira pada pukul 3.50 pagi (waktu tempatan) hari ini.
Menurut kenyataan pihak lapangan terbang, empat kru yang berada di dalam pesawat Emirates SkyCargo, penerbangan EK9788 yang dikendalikan oleh syarikat Turki Air ACT berjaya diselamatkan.
Seorang lelaki berusia 30 tahun yang berada di dalam kenderaan darat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Namun, seorang lagi berusia 41 tahun meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital.
Seorang kakitangan darat turut berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi masih hilang.
Operasi menyelamat masih dijalankan sepenuhnya dengan bantuan helikopter, pasukan bomba dan polis marin.
Landasan utara di lapangan terbang berkenaan kekal ditutup susulan insiden tersebut. – AGENSI