KUALA LUMPUR – MyBarakah Synergy Sdn. Bhd. (MyBarakah) mahu bergiat aktif membantu komuniti melalui inisiatifnya menawarkan pilihan terbaik dalam proses pengagihan bantuan kepada kumpulan sasaran yang layak dengan cara yang lebih telus dan berkonsepkan syariah.
Pengarah Urusannya, Noorhaslizan Shah Sulaiman berkata, pengoperasian syarikat yang telah memulakan aktivitinya sejak tahun 2021 itu telah menguruskan pengagihan zakat, bantuan, sumbangan dan wakaf kepada kumpulan sasaran dengan menggunakan platform e-wallet melalui kad digital khas.
Beliau berkata, semasa pandemik, konsep penyerahan sumbangan mengunakan platform e-wallet sangat berkesan untuk membantu kumpulan penerima bantuan menerus kelangsungan dalam persekitaran yang sukar.
Jelasnya, kad digital itu boleh digunakan untuk transaksi pembayaran, pembelian dan juga platform untuk mengagihkan bantuan kepada penerima yang layak.
“Jadi dengan menggunakan kad digital ini, bantuan yang diberikan lebih telus yang mana jika ia adalah bantuan bulanan, maka si penerima bantuan boleh menggunakan kad digital berkenaan membeli barangan keperluan di semua rangkaian kedai di bawah rangkaian syarikat.
“Ada juga pelanggan kami yang menggunakan kad digital yang disinergikan dengan Mastercard dengan lebih mudah untuk transaksi pembayaran dan pembelian di Tanah Suci,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Noorhaslizan menjelaskan, buat masa ini, MyBarakah memiliki kira-kira 3,000 penerima bantuan dan menjangkakan melalui kerjasamanya dengan banyak badan bukan kerajaan dan juga pusat zakat negeri serta pihak berkuasa lain, penerima bantuannya terbaharunya bakal mencecah kepada 180,000 orang.
Tambah beliau, antara kelebihan perkhidmatan ini adalah sumbangan yang diterima oleh pihaknya akan disalurkan terus kepada penerima bantuan dan segala rekod transaksi yang dijalankan dapat disemak oleh pihak penyumbang dan juga pentadbir dana.
“Sehubungan itu, di sini dilihat tiada isu ketirisan bantuan dan sumbangan yang diberikan kepada mereka yang layak,” ujarnya.
Tambah beliau, MyBarakah kini sedang membina sebuah ekosistem ekonomi berunsurkan syariah yag memiliki elemen kebertanggungjawaban, membantu meningkatkan taraf ekonomi Islam dan juga mencari keberkatan.
Selain itu, ia juga menyediakan platform yang menyenangkan kepada masyarakat untuk menyumbang dan menerima bantuan dengan lebih mudah, tanpa sebarang keraguan dan juga tanpa batasan. -KOSMO! ONLINE