PETALING JAYA – Sikap prihatin seorang jiran yang memohon maaf dan memberi makluman awal kepada jirannya sebelum bermain mercun sempena sambutan Deepavali mencuri perhatian ramai pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @amizaismail_, wanita tersebut berkongsi tangkap layar mesej WhatsApp daripada jirannya yang dihantar setiap kali menjelang malam perayaan tersebut.
Dalam mesej itu, jiran tersebut memaklumkan mereka akan bermain mercun dan meminta wanita berkenaan menjaga anaknya agar tidak terkejut dengan bunyi kuat.
“Adik, nanti tengah malam anak saya akan main mercun. Tolong jaga anak adik ya. Takut terkejut nanti. Maaf ya adik,” tulisnya dalam mesej tersebut.
“Setiap tahun, malam sebelum Deepavali, memang akan dapat WhatsApp macam ini. Kita okay saja. Sebab kita pun main mercun masa raya kita. Bezanya, kita main kat kampung,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tindakan beradab jirannya menerima pujian ramai yang menyifatkan sikap saling menghormati antara jiran berlainan kaum harus dicontohi.
“Baiknya ada jiran macam ini, sejuk hati. Cuma perlu ada sikap bertimbang rasa saja. Kita pun faham,” komen Nurul Atikha.
“Suka sangat tengok kebaikan dapat jiran-jiran macam ini,” kata Nam K.
“Sukanya saling hormat-menghormati macam ni. Waktu perayaan mereka kita beri peluang. Nanti waktu perayaan kita pula,” komen Zurin. – KOSMO! ONLINE