MILAN – Pengendali AC Milan, Massimiliano Allegri puas menyaksikan pasukannya dapat melakar kemenangan penting 2-1 ke atas Fiorentina awal pagi tadi untuk memimpin carta Serie A buat kali pertama musim ini.
Pada aksi di Stadium San Siro itu, skuad The Viola terlebih dahulu mendahului hasil penyudah Robin Gosens sebelum bintang sensasi tuan rumah, Rafael Leao muncul wira apabila meledak dua gol penting buat Milan.
Kata Allegri, keputusan tersebut cukup penting untuk melaungkan amaran bahawa pasukannya bersedia mencabar gelaran Scudetto pada musim ini.
“Saya tidak mahu mendabik dada kerana kemenangan ini hanya menghadiahkan tiga mata. Kita perlu cetak lebih banyak kemenangan dan harap semua pemain yang cedera dapat kembali pulih.
“Apa yang pasti, pujian wajar diberikan kepada semua pemain kerana bukan mudah untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1 dengan beberapa tonggak yang dimasukkan sebagai pemain simpanan turut memberikan impak yang berkesan,” katanya.
Sementara itu, Allegri turut memuji Leao apabila dilihat semakin selesa dengan peranan selaku penyerang utama selain berjaya menyudahkan sepakan penalti yang cukup penting pada penghujung saingan.
“Rekod kita ketika mengambil sepakan penalti sebelum tidak cukup baik dan kali ini saya mengarahkan Leao untuk memikul tanggungjawab tersebut,” katanya. – AGENSI
CAPTION
LEAO muncul wira apabila meledak dua gol memastikan Milan bangkit menewaskan Fiorentina awal pagi tadi. – AFP