PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan beberapa langkah tambahan dalam masa terdekat dalam menambah baik aspek keselamatan di sekolah serta disiplin murid.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beberapa insiden yang berlaku lewat ini menuntut untuk bekerja dengan lebih kuat lagi bagi memperbaiki kelompongan yang ada demi memastikan keselamatan anak-anak, para guru dan seluruh warga pendidikan.
“Bagai tidak ada istilah cuti kerana ketika ini, kami sedang menggiatkan usaha menyusun semua mekanisme bagi memperkukuh ekosistem sekolah selamat.
“Saya adakan pertemuan dan ‘debrief’ bersama pasukan sokongan psikososial yang sedang melaksanakan intervensi krisis bagi membantu warga sekolah yang terjejas selepas beberapa insiden untuk mendukung sokongan kesihatan mental,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata, beberapa perbincangan dengan pasukan KPM turut diadakan terkait usaha menambah baik aspek keselamatan di sekolah dan disiplin anak-anak sebagaimana keputusan Jemaah Menteri.
“Insya-Allah saya akan umumkan beberapa langkah tambahan dalam masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














