SUNGAI PETANI – Sebuah kilang yang mengeluarkan mi kuning, kuetiau, laksa dan tempe di daerah Kuala Muda diserbu kerana disyaki menyalahgunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan pukul 11 pagi itu dijalankan KPDN bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda dan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah serta polis.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kilang dan stor edaran, premis tersebut disyaki menggunakan logo halal Jakim ke atas produk yang dikeluarkan tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa.
“Premis tersebut menjalankan aktiviti memproses mi kuning, kuetiau, laksa, tauhu dan tempe yang diedarkan ke pasaran seluruh negara,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pegawai serbuan telah menyita
mi kuning, kuetiau, laksa, tempe serta pek pembungkusan pelbagai saiz yang
menggunakan logo halal Jakim dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM87,057.
“Kes disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya memberi amaran kepada peniaga agar tidak menggunakan
logo halal tanpa diperakui oleh pihak berkuasa berwibawa sama ada Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). – KOSMO! ONLINE