fbpx
AISHA mengakui dia sememangnya memiliki sejarah berdepan serangan panik yang teruk sebelum ini.- FIRDAUS JOHARI

‘Kejang, pengsan, panik teruk, doktor suruh buat MRI’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengsan akibat serangan panik, penyanyi Aisha Retno memaklumkan doktor menasihatinya untuk menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) bagi mengenal pasti punca sebenar masalah kesihatan yang dialami.

Pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, turut mendedahkan pemeriksaan tersebut dicadangkan susulan dia rebah dalam keadaan kekejangan ketika kejadian berlaku.

“Mungkin saat itu saya penat, makan pun lambat dan orang ramai menyebabkan ‘trigger’ serangan panik saya. Itu sahaja yang boleh saya katakan, apa-apa berkaitan mistik setakat ini alhamdulillah tak ada.

“Doktor ada syorkan saya buat MRI sebab saya pengsan sekali dengan kejang. Kadang-kadang ada kaitan dengan otak.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat akan tengok jadual dulu kalau kosong terus pergi MRI sebab jarang-jarang berlaku saya serangan panik dan kekejangan. Saya akan cuba jaga kesihatan,” katanya kepada Kosmo! Online semasa malam kemuncak All Star Influencers Award (ASIA) 2025, semalam.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Sutera itu mengakui semakin mampu mengawal masalah serangan paniknya yang agak teruk.

“Saya rasa saya kepenatan sebab baru dua bulan lepas terjadi benda yang sama (pengsan) juga tapi alhamdulillah kali ini lagi cepat pulih sebab ada ibu dan ayah di sisi saya.

“Saya memang ada sejarah serangan panik agak teruk dan benda itu bukan boleh dipulihkan sangat tapi seiringan berlalunya waktu saya mampu mengatasinya. Pasti ramai juga yang mengalami perkara sama (serangan panik) seperti saya.

“Satu perkara yang betul-betul kena berjaga-jagalah sebab kadang-kadang takut bagi kesan kepada kerja, macam hari itu lepas persembahan apa terjadi kalau semasa menyanyi takut bahaya,” ujarnya.

Meskipun diuji dengan masalah kesihatan, Aisha tetap komited terhadap kerjaya seni dan berjanji untuk memberi lebih perhatian terhadap keseimbangan antara kerja dan rehat.

“Saya suka kerja, di waktu Allah bagi rezeki kerja. Saya selalu ada ‘me time’ setiap kali balik (kerja).

“Selalu fikir dalam otak selagi ada daya dan upaya diberikan kesihatan oleh Allah untuk melakukan kerja. Bila lagi saya umur 25 tahun Allah bagi berpusu-pusu rezeki.

“Selagi boleh galas tanggungjawab, jalankan. Tapi semestinya peringatan buat diri saya jaga kesihatan dan pemakanan,” tuturnya.

Sebelum ini, Aisha tiba-tiba pengsan apabila mengalami serangan panik di belakang pentas ketika pentas akhir TTMM selepas menyelesaikan tugasan nyanyiannya yang berdeut dengan Marsya Q menerusi lagu Lay Me Down nyanyian Sam Smith. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI