LIVERPOOL – Manchester United tampil dengan aksi luar biasa ketika memastikan kemenangan penuh bermakna dengan menewaskan Liverpool 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, sebentar tadi.
Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut The Reds dan ia pastinya beri tekanan besar buat pengurus pasukan, Arne Slot yang hadir selaku juara bertahan Liga Perdana Inggeris.
Sepanjang perlawanan, Liverpool seakan dilanda masalah apabila sering kali dilihat mengulangi kesilapan sama, terlalu mudah hilang bola kepada pemain lawan.
Terdahulu, Bryan Mbeumo memastikan permulaan sempurna buat Manchester United apabila membuka jaringan seawal minit ke-2.
Walaupun tetap memberikan saingan, Liverpool seakan bergelut untuk mencipta peluang terbaik, menyaksikan barisan pertahanan pelawat sentiasa memiliki jawapan kepada gerakan diatur tuan rumah.
Selepas satu percubaannya terkena tiang di babak pertama, situasi sama terus menghimpit Cody Gakpo pada minit ke-50 sekali gus memberikan tekanan buat Liverpool untuk mencari gol penyamaan.
Menyedari keadaan makin mendesak, Slot bertindak memasukkan tiga tenaga tambahan sekali gus dengan memberi peluang kepada Florian Wirtz, Curtis Jones dan Hugo Ekitike.
Minit ke-78, Gakpo akhirnya meledak gol penyamaan namun keceriaan itu hanya bertahan enam minit apabila Harry Maguire menghasilkan jaringan kemenangan buat The Red Devils. – KOSMO! ONLINE