LONDON – Penyerang Crystal Palace, Jean-Philippe Mateta sedang berada pada puncak prestasi selepas merakam hatrik pada aksi menentang Bournemouth, kelmarin.
Pengurus Bournemouth, Andoni Iraola turut mengakui fakta itu dan beri ingatan kepada pesaing lain supaya lebih waspada dengan kualiti Mateta.
Sama seperti yang diperkatakan legenda England, Alan Shearer, Iraola juga merasakan penyerang kebangsaan Perancis itu mampu menghadirkan mimpi buruk kepada pasukan lawan.
“Mereka (Crystal Palace) alami kekalahan, jadi mereka kena lebih berani dan agresif. Mereka melakukan hantaran jauh mencari Mateta.
“Jelas sekali, mereka berjaya menghukum kami kerana mereka juga ada pemain yang laju seperti Ismaila Sarr dan Eddie Nketiah,” katanya.
Dibawah kendalian Oliver Glasner, Mateta menjadi titik utama kepada serangan Crystal Palace memandangkan penyerang itu mampu menggabungkan kualiti fizikal dan sentuhan akhirnya setiap kali memperoleh peluang.
Mengambil kira kontrak yang bakal tamat pada musim panas 2027, Crystal Palace wajar segera memuktamadkan masa depan Mateta bagi mengelak penyerang itu berhijrah ke kelab lain. – KOSMO! ONLINE