NOTTINGHAM – Jodoh Ange Postecoglou bersama Nottingham Forest tidak kekal lama apabila dipecat selepas tewas 0-3 kepada Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di City Ground malam kelmarin.
Pihak pengurusan pasukan itu tidak menunggu lama untuk mengambil tindakan tersebut apabila mengumumkan pemecatan bekas pengendali Tottenham Hotspur berkenaan tidak sampai 30 minit selepas tamat perlawanan.
Kapten Forest, Ryan Yates menegaskan, semua pemain harus bertanggungjawab dengan rentetan aksi hambar yang ditampilkan dan tidak boleh meletakkan kesalahan 100 peratus ke atas Postecoglou.
“Secara jujur, Ange (Postecoglou) masuk ke bilik persalinan selepas perlawanan dan ada bercakap dengan kami. Selepas itu, saya keluar untuk berlari sekejap dan sebaik kembali, beliau sudah dipecat.
“Bagi saya, semua orang perlu mengambil tanggungjawab dan tidak adil untuk meletakkan kesalahan ke atas mana-mana individu. Pemain juga perlu muhasabah diri dan melakukan perubahan,” katanya.
Sebagai rekod, sejak dilantik sebagai pengurus Forest September lalu, jurulatih dari Australia itu gagal untuk memenangi kesemua lapan perlawanan yang diharungi dan hanya mampu bertahan selama 40 hari.
Difahamkan, beberapa nama mula dikaitkan dengan kerusi panas tersebut, termasuk bekas pengurus Burnley dan Everton, Sean Dyche serta bekas pengendali Manchester City, Roberto Mancini.
“Kami sebagai pemain harus dipersalahkan dalam perkara ini kerana kami yang bermain di atas padang. Dalam bola sepak, semuanya berlaku dengan pantas dan saya harap kami boleh kembali ke prestasi sebenar,” ujar Yates. – AGENSI