BALING – Dua anggota polis yang disyaki memeras ugut seorang lelaki yang kemudian ditemui meninggal dunia akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini esok.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, dua anggota polis berusia 24 dan 26 tahun itu akan didakwa di mahkamah tersebut pada pukul 9 pagi.
“Kertas siasatan berhubung kes tersebut telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan pertuduhan.
“Mereka akan dituduh di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan terhadap mangsa,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan terhadap seorang lelaki yang kemudian ditemui meninggal dunia di Kampung Asam Jawa dalam mukim Pulai, di sini pada 20 September lalu. – KOSMO! ONLINE