fbpx
CHONG WEI

Chong Wei tampil pertahan Jonassen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Prestasi skuad perseorangan lelaki negara terus menjadi bahan perbualan peminat-peminat sukan tanah air apabila masih belum menunjukkan sebarang peningkatan sepanjang musim ini.

Walaupun dengan kehadiran bekas ketua jurulatih Denmark, Kenneth Jonassen selaku Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), namun situasi sama tetap tidak berubah.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei mempertahankan Jonassen dan meminta peminat-peminat memberikan masa buat jurulatih berusia 51 tahun itu.

Beliau berkata, Jonassen perlu diberikan masa sekurang-kurangnya satu penggal, iaitu empat tahun kerana menganggap 10 bulan bukanlah tempoh yang sesuai untuk membuat penilaian menyeluruh.

“Untuk saya, memang kita perlu berikan sedikit masa kepada Kenneth Jonassen. Beliau baru sahaja bersama pasukan selama 10 bulan, jangan letakkan harapan beliau mampu ubah sukan badminton negara dalam tempoh setahun.

“Beliau merupakan seorang jurulatih profesional tetapi anda tidak boleh harapkan perubahan dalam tempoh singkat. Kita kena berikan masa sekurang-kurangnya satu penggal, iaitu empat tahun,” katanya.

Legenda badminton tanah air itu turut menjelaskan, prestasi kurang memberangsangkan skuad perseorangan lelaki sudah pun berlaku sejak sekian lama, sebelum Jonassen menyertai BAM pada Januari lalu.

Tambah Chong Wei, skuad badminton negara kini bergantung kepada pemain-pemain sedia ada seperti Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Ng Tze Yong yang masih tercari-cari rentak permainan sebenar.

“Sebelum Jonassen datang, kita sudah sedia maklum bahawa kita kekurangan pemain. Bukannya selepas beliau menyertai BAM, masalah ini baru timbul. Sebab itulah beliau perlu diberikan masa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI