PETALING JAYA – Isu kelaparan bukan hanya dialami golongan gelandangan, malah ada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang melalui nasib yang sama.
Menerusi perkongsian hantaran Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, ada pelajar universiti terpaksa berjuang dengan perut kosong dan hanya makan sekali sehari, manakala selebihnya menahan lapar demi mengejar segulung ijazah.
Menerusi komen-komen orang ramai, seorang pengguna Facebook, Rina Yoe turut bersetuju ada pelajar di kampus terpaksa menahan lapar kerana kekangan kewangan.
“Kelaparan bukan hanya milik gelandangan. Di kampus, pelajar juga bertarung dengan lapar demi ilmu. Mereka bukan malas, bukan lemah tetapi berjuang demi masa depan,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna, Afiqah Kamsani turut berkongsi kisah sebenar di hospital tempatnya bertugas apabila seorang pelajar dibawa ke jabatan kecemasan selepas pengsan di pondok pengawal kolej.
“Apabila diperiksa, tiada masalah kesihatan serius, cuma pelajar itu tidak makan seharian. Dia hanya minum air kerana tiada duit untuk membeli makanan.
“Sudah dua bulan daftar kolej, tapi ibu bapa pelajar tersebut tidak mampu memberikan duit belanja bulanan sehingga dia (pelajar) terpaksa bekerja sambilan,” katanya.
Menurut Afiqah, ramai kakitangan hospital yang memberikan duit belanja kepada pelajar tersebut kerana simpati. -KOSMO! ONLINE