SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang masih giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kes pembunuhan kejam melibatkan mangsa dua beranak di kediaman mereka di Kampung Juru Sekolah, Seberang Perai di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, setakat ini motif pembunuhan itu masih belum jelas dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi merungkai kejadian sebenar berlaku.
“Semua bahan bukti yang diperoleh dalam kes ini akan digunakan dalam membantu siasatan kes tersebut.
“Kita akan siasat semua aspek bagi mencari punca sebenar pembunuhan dua beranak ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam, suami kepada mangsa yang berusia 57 tahun itu telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis juga telah menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut di kawasan semak, dekat kediaman yang disewa mangsa tersebut.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan punca kematian dua beranak, Sariya Che Hin,51, dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim,11, adalah disebabkan tetakan pada belakang leher dipercayai menggunakan senjata tajam menyerupai pisau pemotong daging.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam, Sabtu lalu itu, mayat mangsa dipercayai ditemukan dalam keadaan mengerikan dengan kepala terkulai dan tangan terputus. -KOSMO! ONLINE