fbpx
Najib Razak

1MDB: Mahkamah dengar hujahan selama sembilan hari bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini esok dijadualkan akan mendengar hujahan lisan pihak pembelaan dan pendakwaan dalam 25 pertuduhan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan sebelum ini, prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah itu akan berlangsung di Putrajaya selama sembilan hari bermula pada 21 hingga 24 Oktober dan 27 hingga 31 Oktober ini.

Hakim Collin menetapkan semua tarikh pendengaran itu sebelum memutuskan sama ada bekas Perdana Menteri itu akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.

Pada 30 Mei tahun lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas perbicaraan mengambil masa selama enam tahun yang mana prosiding itu berlangsung selama 235 hari.

Antara saksi penting yang dipanggil memberikan keterangan termasuklah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.

Bagaimanapun pada 30 Oktober tahun lalu, mahkamah memerintahkan Najib membela diri 25 pertuduhan tersebut iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding bela diri kemudian bermula pada 2 Disember tahun lalu dengan Najib merupakan saksi pembelaan pertama memberi keterangan.

Pada 6 Mei lalu, selepas selesai mendengar keterangan 26 saksi yang mengambil masa selama 58 hari, pihak pembelaan menutup kesnya.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI