ISKANDAR PUTERI – Tiga tekong laut diberkas selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di kawasan perairan Forest City di sini, Rabu lalu.
Ketiga-tiga tekong yang diberkas dalam operasi bermula pada pukul 8.30 malam itu merupakan ahli sindiket yang menguruskan perjalanan membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) warga negara Indonesia.
Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintendan Salehin Suleiman berkata, pada mulanya sepasukan anggota PGA melakukan pemerhatian di kawasan target yang disyaki menjadi laluan pendaratan dan membawa keluar PATI melalui jalan yang tidak diwartakan.
Katanya, hasil pemerhatian, pasukan berjaya menahan lima lelaki dewasa warga Indonesia yang sedang menunggu bot untuk keluar dari negara ini.
“Selepas sejam kemudian, pasukan melihat empat buat bot meluru masuk ke pesisiran pantai sebelum menurunkan penumpang di kawasan berkenaan.
“15 PATI yang baru tiba ditangkap dan pasukan yang ditugaskan untuk menangkap tekong terpaksa bergelut berikutan mereka bertindak agresif.
“Dalam operasi itu, tiga tekong berjaya diberkas, manakala seorang lagi tekong meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Salehin berkata, kesemua tekong yang diberkas merupakan warganegara Indonesia berusia 20 hingga 38 tahun.
Manakala, migran yang ditangkap pula terdiri dari empat wanita dan 16 lelaki masing-masing berusia 15 hingga 52 tahun.
Beliau berkata, PGA merampas tiga buah bot fibre bersama enjin sangkut, lima tong berisi minyak, dua anak kunci serta tiga telefon bimbit bernilai RM102,650.
“Ketiga-tiga tekong ini merupakan individu yang aktif menguruskan perjalanan PATI keluar atau masuk melalui ‘jalan tikus’ di sepanjang perairan pantai Johor.
“Hasil siasatan, mereka mengaku individu bernama ‘Pak Adol’ merupakan ejen yang menguruskan jenayah rentas sempadan dan polis giat melakukan siasatan untuk melumpuhkan rangkaian sindiket,” katanya. – KOSMO! ONLINE