KUALA NERUS – Kesilapan mudah dan komunikasi lemah antara pemain menjadi punca utama Terengganu FC (TFC) rebah 1-4 di tangan Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam tadi.
Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali mengakui anak buahnya gagal mengekalkan fokus sepanjang 90 minit meskipun turun dengan semangat tinggi untuk memburu kemenangan di laman sendiri.
“Ini bukan hari kita. Pemain memang bersemangat dan mahu menang, tapi terlalu ghairah sehingga hilang fokus.
“Banyak kesilapan mudah berlaku yang memudahkan pihak lawan menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan di sini malam tadi.
Badrul berkata, dua jaringan awal pelawat dalam tempoh 10 minit pertama jelas memerangkap TFC yang masih mencari rentak sebelum kesilapan individu terus menghukum mereka.
Beliau berkata, anak buahnya berjaya mencipta peluang tapi gagal menjaringkan gol. – KOSMO! ONLINE