PETALING JAYA – Skuad bawah 22 (B-22) tahun kebangsaan sedia untuk menamatkan penantian 14 tahun selepas diundi dalam saingan Kumpulan B di temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember depan.
Pada sesi undian yang berlangsung di Bangkok sebentar tadi, Malaysia telah diundi bersama pasukan pilihan, Vietnam dan Laos.
Sementara itu, Kumpulan A menyaksikan tuan rumah, Thailand akan bertemu Kemboja dan Timor Leste dengan Kumpulan C terduru daripada juara bertahan Indonesia serta Singapura, Filipina dan Myanmar.
Sebagai rekod, skuad muda Harimau Malaya telah dikritik hebat apabila terkandas di peringkat kumpulan saingan Piala ASEAN B-23 2025 yang berlangsung di Indonesia pada Julai lepas.
Kemudian, impian skuad kendalian Nafuzi Zain untuk bersaing di pentas Piala Asia B-23 buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian selepas berada di kedudukan ketiga peringkat kelayakan Kumpulan F, bulan lalu.
Kali terakhir skuad negara meraih pingat emas temasya sukan berprestij Asia Tenggara itu pada edisi 2011 ketika dibimbing Datuk Ong Kim Swee.
Temasya Sukan SEA 2025 dijadualkan berlangsung secara rasmi pada 9 Disember hingga 20 Disember depan. – KOSMO! ONLINE