fbpx
Gambar yang dimuat naik di hantaran Nasi Kandar Sulaiman.

‘Saya ‘influencer’ tak perlu bayar kan?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pemilik restoran berdepan situasi menguji kesabaran apabila seorang pelanggan yang mengaku sebagai ‘influencer’ (pempengaruh) enggan membuat bayaran selepas menikmati hidangan di premisnya.

Menerusi perkongsian di Facebook Nasi Kandar Sulaiman, pelanggan terbabit datang bersama keluarga dan memperkenalkan diri sebagai pempengaruh TikTok yang mempunyai seramai 40,000 pengikut.

Katanya, individu tersebut memaklumkan hasratnya untuk membuat video promosi di premis tersebut dan menganggap tidak perlu membuat bayaran dengan alasan akan berkongsi video tersebut untuk tatapan pengikutnya.

“Beliau datang dan kata ‘saya influencer’. Saya pun kata okey. Lepas itu dia tunjuk akaun TikTok yang ada lebih kurang 40,000 pengikut.

“Dia cakap tak perlu bayarkan sebab nak ambil (rekod) video. Saya jawab tetap kena bayar sebab saya tak jemput dia datang,” katanya.

Nasi Kandar Sulaiman berkata, pihaknya tidak pernah melarang pelanggan merakam atau berkongsi video di media sosial, namun itu tidak bermakna mereka boleh makan secara percuma tanpa persetujuan atau kerjasama promosi terlebih dahulu.

“Saya tak halang dia nak ambil (rekod) video, tapi tetap kena bayar. Kalau semua buat macam ni (makan percuma), habislah saya bankrap. Makan pun dah lebih RM50,” katanya berseloroh.

Turut dimuat naik gambar bil nasi kandar yang dimakan pempengaruh tersebut berjumlah RM53.60.

Bukan itu sahaja, menurut restoran tersebut, selepas selesai makan, pelanggan terbabit masih cuba meyakinkannya agar tidak dikenakan bayaran dengan alasan dia merupakan ‘influencer’.

“Dah makan pun masih ulang lagi ‘saya influencer’, tetapi saya tetap minta dia bayar sebab dari awal saya dah beritahu kena bayar,” ujarnya.

Perkongsian itu menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-rata menyokong tindakan pemilik restoran dan menegaskan status ‘pempengaruh’ bukan alasan untuk mendapatkan layanan percuma tanpa perjanjian sah dengan pihak perniagaan.

Ramai juga yang menganggap kejadian itu sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang mahu melakukan kolaborasi promosi supaya berbincang secara profesional dan tidak mengambil kesempatan atas nama ‘pempengaruh’.

“Mamu habaq (beritahu) pengikut mamu pun 193,000 ada hati 40,000 (pengikut) nak minta makan percuma,” balas Azim.

“Taktik lama nak makan percuma, pempengaruh ke siapa ke kalau tak dijemput buat ‘review’ bayar sahajalah. Tak ada duit ke?” komen Nars.

“Cuba mamu tanya ‘hang pempengaruh ke pengemis’, keliru pula berkali-kali kata nak makan percuma,” kata Iqbal pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI