PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan menyelesaikan segera isu penyalahgunaan MyKad oleh bagi menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bantuan tersebut adalah hak rakyat dan kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana penerima yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyelewengan identiti.
Menurut beliau, sekiranya berlaku penyalahgunaan MyKad, baki sumbangan akan dipulangkan semula kepada penerima selepas siasatan disahkan.
“Penerima yang menjadi mangsa disaran membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan.
“Siasatan akan mengenal pasti punca kejadian selain memastikan hak penerima dikembalikan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saifuddin, pihaknya bersama Kementerian Kewangan sedang menambah baik aspek keselamatan dan pengesahan MyKad supaya penyaluran subsidi bersasar dapat dijalankan dengan lebih lancar.
“Langkah penambahbaikan melibatkan pemadanan data MyKad secara berkala, semakan versi kad bagi mengelak penyalahgunaan serta peningkatan keselamatan infrastruktur digital JPN,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha itu penting bagi memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara telus, adil dan selamat. – KOSMO! ONLINE.