JASIN – Melaka kini menjadi negeri contoh dalam pelaksanaan sistem pentadbiran cekap apabila Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM13.5 juta setahun.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, projek tersebut telah meningkatkan produktiviti pentadbiran termasuk proses kelulusan kerajaan sehingga 75 peratus lebih pantas, sekali gus memberi manfaat terus kepada rakyat dan peniaga.
Ujarnya, sebanyak empat projek RKB telah dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi negeri, Pejabat Tanah dan pihak berkuasa tempatan.
“Antara inisiatif utama ialah penambahbaikan Manual Laporan Cadangan Pemajuan (LCP) Edisi Kedua, Pindaan Negeri Melaka oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka bersama PLANMalaysia@Melaka.
“Langkah ini berjaya mengurangkan tempoh urusan pengambilan tanah daripada 36 bulan kepada hanya enam bulan melalui semakan teknikal bersepadu dan serentak,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Projek RKB sempena Program Madani Rakyat (PMR) 2025 di Politeknik Merlimau, hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri Melaka dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, telus dan berimpak tinggi.
“Apabila kita mengutamakan rakyat dan mempermudah urusan perniagaan, ia bukan sahaja menjimatkan kos, malah meningkatkan produktiviti.
“RKB membuktikan bahawa perkhidmatan awam sentiasa boleh ditambah baik demi kepentingan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, pengurangan kerenah birokrasi serta pemerkasaan kecerdasan buatan (AI) akan terus menjadi tunjang kepada matlamat Malaysia Madani, ke arah sektor awam yang tangkas, inklusif dan berpaksikan rakyat. – KOSMO! ONLINE