AUSTIN, Amerika Syarikat – Ketua Pasukan Red Bull, Laurent Mekies optimis pasukannya mampu membantu Max Verstappen mencabar kejuaraan dunia Formula Satu (F1) buat kali kelima musim ini.
Mekies yang mengambil alih jawatan itu selepas pemecatan Christian Horner pada Julai lalu berkata, jentera Red Bull kini menunjukkan potensi sebenar untuk bersaing di baki enam perlumbaan musim ini.
Apapun, Red Bull memerlukan aksi luar biasa dalam baki enam perlumbaan ini untuk mengatasi pasukan Mclaren yang kini mendahului carta kedudukan teratas menerusi dua pemandu berbakat mereka iaitu Oscar Pistri dan Lando Norris
“Saya rasa adil untuk dikatakan bahawa kami kini mempunyai potensi yang cukup pada jentera untuk bersaing di kebanyakan litar selepas ini.
“Ini tidak bermakna kami akan menang, tetapi jika kami dapat memanfaatkan sepenuhnya kemampuan jentera pada setiap litar, kami percaya kami mampu bersaing untuk kemenangan.
“Ia juga tidak bermakna kami akan menang setiap hujung minggu perlumbaan atau tidak akan ditewaskan langsung, tetapi kami sepatutnya berada dalam kelompok utama yang berjuang untuk kemenangan,” kata Mekies.
Mekies yang terkenal dengan pendekatan tenang telah berjaya menyuntik semangat baharu dalam Red Bull dengan keputusan konsisten yang memberangsangkan termasuk dua kemenangan dan penamat tempat kedua sejak cuti musim panas Ogos.
Hasilnya, Verstappen ketika ini berada di tangga ketiga keseluruhan dan hanya dipisahkan 63 mata di belakang pendahulu dari McLaren, Piastri manakala Norris (McLaren) di tempat kedua dengan kelebihan 22 mata ke atas Verstappen. – AGENSI














