LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menyeru pasukan untuk tampil konsisten selepas berjaya mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan kemenangan 1-0 ke atas Fulham dalam aksi awal pagi tadi.
Pada perlawanan di Stadium Craven Cottage itu, skuad The Gunners meraih gol tunggal perlawanan menerusi penyudah Leandro Trossard untuk terus memimpin carta dengan 19 mata selepas mengharungi lapan perlawanan.
Kata Arteta, kemenangan ke atas The Cottagers cukup penting selepas gagal meraih keputusan positif di gelanggang keramat lawan itu pada musim lalu.
“Kita berjaya tamatkan badi ketika bertemu Fulham dengan melakar kemenangan penting ke atas Fulham dan Newcastle musim ini.
“Saya mahu pemain kekalkan mentaliti yang sama untuk kekal konsisten pada musim ini.
“Secara peribadi, saya rasa kita sepatutnya boleh menang lebih besar tetapi pemain juga menunjukkan kematangan untuk pertahankan kemenangan hingga wisel penamat,” katanya.