NOTTINGHAM – Chelsea meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Nottingham Forest 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di City Ground malam tadi.
Tiga gol menerusi jaringan Josh Acheampong, Pedro Neto dan Reece James memastikan The Blues membawa pulang tiga mata berharga selain menjadi punca pemecatan pengendali Forest, Ange Postecoglou.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca berkata, barisan pemainnya mempamerkan aksi lebih baik di separuh masa kedua sehingga berjaya menjaringkan tiga gol walaupun pada awalnya diasak jentera serangan Forest.
“Saya fikir kami agak bergelut di separuh masa pertama tetapi pertahanan cukup baik menahan asakan lawan. Kami ada melakukan beberapa kesilapan yang membolehkan mereka melakukan percubaan.
“Ketika waktu rehat, saya meminta pemain-pemain supaya memberi tekanan kepada lawan dan ia membuahkan hasil. Kami menampilkan aksi lebih baik di separuh masa kedua dan mencatat kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, Chelsea terus dihantui layangan kad merah apabila pemain pertahanan, Malo Gusto diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua ketika perlawanan berbaki tiga minit sahaja lagi.
“Kami tidak sepatutnya melakukan kesilapan seperti ini tetapi saya tahu pemain hanya mahu memastikan gol tidak dibolosi. Bagaimanapun, kami perlu mengelakkan perkara seperti ini berulang,” ujar Maresca. – AGENSI