AMPANG JAYA – Gara-gara diakwa memotong giliran ketika mengisi minyak, seorang lelaki cedera dalam pergelutan dengan individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Pandan Indah, Jumaat lalu.
Kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 32 tahun sedang mengisi minyak sebelum didatangi seorang lelaki menaiki lori yang menuduhnya memotong barisan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, mangsa sudah menjelaskan bahawa mangsa menggunakan pam berbeza, namun suspek tetap tidak berpuas hati.
“Selepas mangsa membuat bayaran, suspek kembali menghampirinya lalu menyentuh hidung mangsa dengan jarinya sebelum mengeluarkan satu objek tidak dikenal pasti dari seluar.
“Suspek kemudian mencucuk objek berwarna merah itu ke arah hidung mangsa menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pergaduhan tercetus antara kedua-dua pihak sehingga mangsa mengalami luka pada hidung dan tangan kiri selain bengkak di belakang kepala.
“Pergaduhan itu kemudiannya dileraikan orang awam sebelum suspek beredar menaiki lori,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha sedang dijalankan untuk mengesan suspek yang masih bebas, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak bertindak sendiri atau bersikap agresif dalam menyelesaikan pertikaian,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE