fbpx
CHEN JIE antara pertaruhan terbaik skuad menembak negara walaupun kali pertama bakal beraksi di Sukan SEA.

Chen Jie sasar podium Sukan SEA Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN bakal menggalas cabaran buat kali pertama di Sukan SEA Thailand 2025, penembak muda negara Gan Chen Jie langsung tidak gentar, sebaliknya bertekad membantu skuad wanita negara menaiki podium di pentas berkenaan.

Atlet berusia 20 tahun itu yang akan beraksi dalam acara 10 meter (m) air rifle dan 50m rifle 3 posisi, enggan meletakkan tekanan tinggi di bahunya, sebaliknya mahu fokus memberikan persembahan terbaik demi kejayaan pasukan.

Menurutnya, sasaran peribadi bukanlah keutamaan, namun pemenang tujuh pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak itu berazam memastikan kem menembak tidak pulang dengan tangan kosong.

“Saya harap dapat bantu pasukan menang pingat. Saya tak letak sasaran emas, tapi pastikan kami dapat podium,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil baru-baru ini.

Bakal berganding bahu dengan dua penembak berpengalaman, Nur Suryani Mohd. Taibi dan Alia Husna Budruddin, Chen Jie yakin keserasian mantap antara mereka bakal menjadi aset penting.

“Hubungan kami dalam pasukan sangat baik. Kami banyak kongsi pengalaman dan sering buat simulasi latihan bersama. Masing-masing saling membantu untuk perbaiki prestasi,” ujarnya.

Anak jati Negeri Sembilan itu sedar laluan mereka tidak mudah dengan menjangkakan saingan sengit daripada negara kuasa menembak serantau terutamanya Singapura dan Indonesia.

Skuad menembak kali ini menampilkan 29 atlet beraksi dalam tiga disiplin utama iaitu rifle, pistol dan shotgun merangkumi lebih 15 acara termasuk kategori individu dan berpasukan.

Selain Nur Suryani dan Jonathan Wong yang pernah beraksi di pentas Sukan Olimpik, antara penembak berpengalaman lain menjadi sandaran adalah pemenang Sukan SEA, Alia Sazana Azahari serta Nurul Syasya Nadiah Mohd. Arifin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI