PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan untuk mencari penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog antara Pakistan serta Afghanistan bagi mengelakkan konflik berpanjangan di sempadan kedua-dua negara.
Menurut Anwar, langkah itu penting bagi menghindari sebarang bentuk pertikaian yang boleh membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau berkenaan.
“Lewat malam tadi, saya telah menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund, bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan disepanjang sempadan kedua-dua negara,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X hari ini.
Anwar turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam terhadap musibah banjir yang melanda Pakistan serta gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan baru-baru ini.
“Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Pakistan dan Afghanistan, serta komuniti antarabangsa, dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dan memperkukuh semangat persaudaraan Islam.
“(Malaysia terus) menyokong segala inisiatif ke arah keamanan serta kestabilan serantau termasuk rundingan damai yang sedang diusahakan di bawah kelolaan Kerajaan Qatar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE