fbpx
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) menyampaikan Bantuan Pendidikan Pelajar SJK(T) parlimen Bagan Datuk kepada wakil penerima pada Majlis Santunan Kasih Deepavali Bagan Datuk 2025 di Bangan Datuk hari ini. Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI/KOSMO!

100 peratus calon tempatan BN pada PRN Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini merupakan calon tempatan 100 peratus.

Kenyataan Pengerusi BN itu sekali gus menepis dakwaan bahawa ada calon luar negeri ini akan mewakili gabungan parti tersebut dalam pilihan raya negeri yang bersifat kritikal bagi menilai tahap sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Kita meletakkan 100 peratus anak tempatan. Calon-calon terdiri daripada muka-muka baharu termasuk wanita, pemuda dan puteri. Dalam perkiraan saya, kira-kira 80 peratus terdiri daripada muka baharu.

“(Langkah) Ini untuk memberikan satu signal (isyarat) bahawa BN Sabah sedia menghamparkan perbezaan pada kali ini untuk memberikan harapan baharu kepada pengundi di Sabah,” katanya kepada pemberita di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Sambutan Kasih Deepavali 2025 Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Menurut Ahmad Zahid, BN telah memuktamadkan kerusi-kerusi bagi PRN Sabah bagi mengelak berlaku pertindihan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Manakala PH (Pakatan Harapan) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), saya mendapat tahu mereka di peringkat akhir untuk memuktamadkan rundingan.

“Harapnya pada 15 November ini (hari penamaan calon), kita tahu jumlah sebenar kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh tiap parti gabungan,” katanya.

Tambahnya, pertembungan calon BN dan GRS tidak dapat dielakkan, namun pihaknya akan memastikan tidak berlakunya pertindihan kerusi melibatkan BN dan PH.

Katanya, itu persetujuan yang dimuktamadkan bagi memastikan gabungan parti-parti kerajaan mengekalkan penguasaan di Sabah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI