GUA MUSANG – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah kenderaan trak pikap jenis Toyota Hilux semasa membuat pusingan U di Kilometer 23, Jalan Gua Musang-Jeli di sini semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa, Mohd. Noor Pa’su, 69, yang berasal dari Kampung Kala Baru di sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kaki dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 sedang dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Gua Musang.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut yang berada di bahu kiri jalan dipercayai tiba-tiba membuat pusingan U.
“Akibat jarak yang dekat, pemandu trak pikap berusia 34 tahun tidak sempat mengelak sebelum merempuh sisi kanan penunggang motosikal dan menyebabkan mangsa terbabas ke bahu kanan jalan. Mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo berkata, kes disiasat mengikut Seksyen (41) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE