fbpx
NURUL HUDA (tengah) melawat latihan skuad menembak negara di MSN Bukit Jalil kelmarin. - AMIR KHALID

Sukan SEA Thailand acuan Malaysia 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MISI Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Thailand 2025 bukan sekadar memburu kilauan pingat emas, sebaliknya menjadi medan persiapan awal membentuk skuad terbaik menjelang penganjuran di laman sendiri pada 2027.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Nurul Huda Abdullah berkata, penyertaan kali ini adalah penghantaran terbesar negara dalam sejarah Sukan SEA melibatkan 1,150 atlet.

672 atlet atau lebih separuh daripada keseluruhan kontinjen adalah muka baharu yang akan membuat penampilan sulung mereka di temasya dwitahunan itu.

“Strategi kali ini sangat berbeza. Jika sebelum ini kita pernah fokus kepada pembangunan atau pengalaman semata-mata, kali ini kita menghantar satu pasukan yang seimbang.

“Ini adalah langkah yang baik kerana sambil kita bersedia untuk Sukan SEA 2027, temasya di Bangkok ini akan membantu memberi pendedahan kepada atlet-atlet baharu.

“Ia akan menyedarkan mereka tentang apa yang boleh dijangkakan apabila tiba giliran kita menjadi tuan rumah nanti,” katanya ketika melakukan kunjungan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Tambah Nurul Huda, gandingan senior dan remaja dilihat sebagai formula terbaik di mana atlet berpengalaman bukan sahaja ditugaskan untuk memburu pingat, tetapi turut memainkan peranan sebagai mentor kepada barisan muda.

“Kita pergi dengan mentaliti berbeza dan menghantar pasukan terkuat tetapi setiap sukan yang saya lihat terdapat keseimbangan antara pengalaman dan juga muka baharu.

“Atlet termuda kita yang berada dalam kontinjen berumur sembilan tahun dari sukan catur dan atlet tertua kita pula berusia 64 tahun daripada menembak. Di sinilah dapat lihat gabungan pengalaman dan atlet kali pertama di Thailand nanti.

“Dua Sukan SEA yang lalu fokusnya adalah pembangunan, jadi kita menghantar atlet yang lebih muda. Kali ini pergi ke sana dengan mentaliti berprestasi untuk mengutip pingat, tetapi juga memastikan kita sedang membangunkan atlet untuk tahun 2027 dan seterusnya,” jelasnya.

Nurul Huda turut meluahkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana berjaya menyelesaikan isu pertembungan tarikh Sukan SEA dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus membolehkan atlet terbabit memberikan fokus 100 peratus kepada persiapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI