KUALA NERUS – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menubuhkan pasukan khas pemantauan bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 agar bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pasukan berkenaan akan melibatkan penempatan kira-kira 40 pegawai dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi memperkukuh pemantauan di lapangan sepanjang tempoh pilihan raya tersebut berlangsung.
“Sabah ini negeri yang luas dan banyak kawasan perlu diperhatikan, sebab itu kita tubuhkan pasukan khas selain menggunakan sistem pemantauan bagi memudahkan proses pengawasan di semua kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.
Azam berkata, bilik gerakan pilihan raya akan diwujudkan di Kota Kinabalu sebagai pusat operasi utama sebelum diperluas ke beberapa daerah lain di negeri berkenaan.
Beliau berkata, SPRM turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dapat dilaksanakan dengan berkesan. – KOSMO! ONLINE