KUALA LANGAT – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya (SKSJ) melancarkan Tabung Bencana Ribut semalam dalam usaha memulihkan prasarana di sekolah tersebut.
Menurut Yang Dipertua PIBG SKSJ, Dr.Abdul Razak Khasbullah, sumbangan kewangan itu penting bagi memastikan usaha memperbaiki kerosakan akibat ribut tersebut berjalan lancar.
“Kerosakan yang masih belum dipastikan jumlah yang tepat ini,sememangnya memerlukan kos pemulihan yang besar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sebanyak 40 buah rumah, lima sekolah dan satu dewan orang ramai rosak akibat bencana ribut dan angin kencang yang berlaku di daerah ini, dua hari lalu.
Abdul Razak berkata, SK Sijangkang Jaya merupakan lokasi yang paling terjejas akibat bencana alam itu dan pihaknya berharap sekolah tersebut boleh beroperasi semula dengan bantuan kewangan serta sumbangan semua pihak.
“Buat masa ini pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak membenarkan sebarang urusan pembersihan dan gotong-royong oleh ibu bapa di SKSJ. Kita akur dengan segala arahan,namun kita berharap pemulihan sekolah ini disegerakan agar sesi pembelajaran dan pengajaran dapat diteruskan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh memasukkan wang ke akaun Agro Bank 1000541000001602 atas nama PIBG SK Sijangkang Jaya. – KOSMO! ONLINE