MELAKA – Fenomena kemunculan kerang secara tiba-tiba di Pantai Klebang sejak seminggu lalu mencetuskan suasana seperti ‘pesta’ apabila pantai itu kini dipenuhi orang ramai yang datang setiap hari untuk mengutip hasil laut berkenaan.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati orang ramai mula membanjiri pantai berkenaan sejak awal pagi, ada yang datang bersama keluarga sambil membawa baldi, cangkul kecil dan karung plastik bagi mengutip kerang di kawasan cetek ketika air surut.
Seorang pengunjung, Azman Baba, 54, dari Bukit Rambai berkata, pada awalnya lokasi itu hanya didatangi penduduk kawasan sekitar, namun bertukar riuh selepas orang ramai mula berkongsi gambar dan video hasil kutipan kerang di media sosial.
“Saya biasa menjala udang di sini, tapi kali terakhir kerang naik banyak macam ni kira-kira lima atau enam tahun lepas. Sekarang dua hari sekali saya datang, boleh dapat empat hingga lima kilogram,” katanya.
Sementara itu, Zuhaizdi Ibrahim, 37, dari Sungai Udang pula berkata, beliau sudah tiga kali ke pantai berkenaan sejak fenomena itu berlaku dan menganggapnya satu rezeki luar jangka.
Fenomena tersebut bukan sahaja menghidupkan semula suasana di Pantai Klebang, malah turut menjadikannya tumpuan baharu bagi penduduk tempatan dan pelancong yang ingin merasai pengalaman mencari kerang secara semula jadi. – KOSMO! ONLINE