PETALING JAYA – Isteri kepada penyanyi dan usahawan Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah mengundang perhatian ramai apabila berdoa agar keajaiban dari Tuhan untuk melembutkan hati suaminya.
Perkara tersebut diluah Afifah atau nama penuhnya Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, selepas melihat ramai yang menzahirkan sokongan dan doa daripada orang ramai.
“Terhibur hati hari ini, tiba-tiba ada masa baca kata-kata semangat kalian.
“Doa yang baik-baik untuk saya dan Nubhan ya.
“Semoga ada kelembutan dalam hati dia untuk saya dan anak-anak. Boleh ke macam itu? Bolehlah ya,” katanya dalam platform Threads.
Menerusi hantaran berbeza, dia mengakui tidak mudah untuk melalui cabaran dan ujian ketika ini namun akan dihadapinya dengan tenang.
Dia bahkan sentiasa mendoakan yang terbaik buat Nubhan selain mengharapkan penyelesaian terbaik.
“Alhamdulillah untuk segala-galanya, walaupun babak ini berakhir tidak seperti yang saya harapkan.
“Saya masih ada kasih dan sayang untuknya, dan saya benar-benar mendoakan kebaikan untuknya.
“Semoga Allah SWT membimbing kami berdua ke jalan terbaik, menyembuhkan semua terluka dan menggantikan setiap kehilangan dengan rahmat-Nya,” ujarnya.
Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Nubhan mencetuskan kejutan apabila memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai pada 2 September lalu.
Sentiasa berkongsi kebahagiaan di laman sosial, tindakan secara mengejut Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, mengundang pelbagai spekulasi.
Mengakui tidak lagi sebumbung dengan suaminya, Afifah Hidayah, 36, juga sebak ketika mengesahkan kini hanya tinggal di kediaman baharu dengan anak-anak sahaja.
Terdahulu, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE