fbpx
DI sebalik kemasyhuran nama, Misha Omar yang disaksikan hari ini adalah bintang daripada segala kecintaan dan kembara onak duri selama lebih dua dekad dalam industri seni suara.

‘Saya menangis bukan bermakna tak boleh dikritik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK memerlukan mukadimah, nama Misha Omar sudah menjadi jenama diperakui penggemar muzik impak ukiran nama sejak lebih dua dekad mengharum gelanggang muzik sendiri.

Menyelongkar kembali rentetan perjalanan karier pemilik nama lengkap Samihah@Aisah Omar, 43, bukan sedikit sepak terajang dilalui untuk berada pada tahap sekarang.

Bermula sebagai gadis hingusan tatkala menyertai Bintang RTM 2001, sebelum meledak setahun kemudian dengan lagu Bunga-Bunga Cinta, sudah berliku laluan sukar perlu ditempuhi.

Akuinya, sepanjang tempoh itu juga hatinya pernah cengeng, mahu sahaja dia berundur, namun sokongan penyokong yang sebenar-benarnya layak dianggap ‘kawan’ menyuntik semula semangat agar jangan mudah berputus asa.

“Biasalah, kita juga manusia biasa yang tetap melalui turun naik emosi apabila dilanda sesuatu kesulitan. Memang beberapa kali juga terfikir untuk berhenti menyanyi.

“Tetapi cepat-cepat kita selak semula apa nawaitu ketika mula-mula terjun ke arena muzik, sama ada sekadar ada atau meninggalkan sesuatu yang memberi impak kepada pendengar.

“Jika kita rasa hadapi cabaran, di luar sana ramai lagi orang yang berhadapan liku lebih sulit. Mana-mana kerjaya pun ada dugaan. Syukur saya punya sistem sokongan kuat daripada keluarga serta penggemar lagu-lagu saya yang buat saya bangkit sebelum rebah,” ujarnya kepada HibGlam.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan kerjaya yang dimulakan pada usia 19 tahun, anak jati Kelantan itu mendedahkan dahulu hatinya mudah rapuh terutama apabila berdepan kritikan.

LEBIH dua dekad dalam industri, Misha Omar sudah menjadi jenama diperakui peminat muzik tanah air. – SONY MUSIC MALAYSIA

Semakin matang

Namun seiring peningkatan usia serta pengalaman, dia semakin matang mendepani segala komen yang mampu menghiris jiwa dengan tidak mempedulikan hal negatif.

Bagi Misha, semua itu terletak kepada pertimbangan diri sendiri, sama ada mahu terpuruk membalas kritikan yang cuba menjatuhkan atau menganggap semuanya itu secebis asam garam kehidupan.

“Mungkin ini juga satu proses kematangan. Bukan bermakna saya tak boleh menerima kritikan kerana komen mampu membuatkan kita berusaha memperbaiki kekurangan.

“Saya juga pernah menangis tetapi lumrah insan, terutama wanita tangisan mampu meredakan hati gundah, cuma pada ketika ini saya tidak lagi terbawa-bawa emosi.

“Apa pun saya berterima kasih dengan segala respons ramai tidak kira baik mahupun buruk yang menjadikan siapa Misha Omar hari ini,” ujar pemilik wajah yang baru-baru ini terpampang di papan iklan digital ikonik Times Square, New York sebagai antara figura kempen Spotify EQUA.

Perbualan kemudian menjurus kepada ke arah projek besarnya, konsert DiA Misha Omar pada 29 November ini, sekali gus nada suaranya jelas kedengaran teruja.

Persembahan mega solo selepas kali terakhir beraksi di Istana Budaya pada 2021 merupakan pertemuan dengan penggemar yang ditunggu-tunggu selepas showcase ‘pemanas’ akhir tahun lalu.

Katanya, acara anjuran Double M Production dengan kerjasama Altus Prohouse itu merupakan keraian lebih dua dekad perjalanan seninya.

Ditanya mengapa bukan di lokasi lebih besar, pendek sahaja jawapan anak seni yang dikenali dengan sikap ramah dan mesra itu.

“Saya orangnya suka untuk dekat dengan penonton. Lebih intim, lebih puas,” ujarnya sambil tertawa kecil.

KONSERT DiA Misha Omar pada 29 November ini dijangka menjadi pentas untuk mengabadikan segala momen manis dan kenangan berharga Misha bersama peminat.

Hargai ‘kawan Kak Mitch’

Menurut penyanyi yang baru tampil dengan single berjudul Break, Mega Star Arena Kuala Lumpur yang dipilih sebagai venue disifatkan sempurna untuk merealisasikan konsert DiA Misha Omar.

“Mereka yang mengikuti kembara saya, pernah menjadi saksi konsert sebelum ini pasti tahu saya suka bercerita dan bergurau dengan penonton santai-santai sahaja.

“Itu antara cara saya menghargai penggemar, saya mahu mereka tahu Misha Omar ada di situ, sedia menghiburkan dan berkongsi kisah yang pastinya mempunyai kaitan dengan orang sekeliling saya.

“Sebab itu saya tak panggil mereka sebagai peminat, sebaliknya ‘kawan ‘ak Mitch’ kerana mereka itu adalah kelompok yang di sisi pada waktu jatuh bangun saya,” ulasnya.

Menghitung hari menuju tarikh istimewa, selain persediaan vokal serta fizikal memandangkan persembahan menjangkau sekitar dua jam, Misha turut mementingkan aspek mental.

“Alhamdulillah, daripada maklum balas tiga kategori tiket sudah habis ditempah, jadi bagi yang ingin menikmati riwayat cinta daripada Misha Omar, inilah masanya.

“Saya juga tidak menyangka dalam diam-diam saya berjaya melewati ‘hitam-putih’ 20 tahun sebagai seorang penghibur, sekali gus menjadikan DiA Misha Omar sebagai sejarah manis untuk dikenang bersama-sama,” kongsinya.

Biarpun sibuk dengan persediaan konsert, tanggungjawab menguruskan keluarga masih mampu dilakukan terutama menghantar anak, Idris Ezzawa, 9, ke sekolah.

“Seperti ibu lain, jadual harian saya bermula seawal pagi iaitu menghantar Idris ke sekolah sebelum kembali ke rumah mengemas dan memasak.

“Saya tiada pembantu, jadi semua urusan banyak saya lakukan sendiri. Mujur anak sulung Muhammad Adam Emir, sudah berusia 19 tahun dan baru tamat belajar, dia banyak membantu tengokkan adiknya.

“Kehidupan macam biasa, boleh diuruskan cuma ketika menjelang projek besar ini sahaja agak padat memandangkan saya perlu mengikuti kelas vokal dengan Datuk Syafinaz.

“Doakan semuanya lancar,” ujar isteri kepada juruterbang, Firoz Ezzwan Rossly itu menutup bicara.

SIBUK dengan persediaan momen istimewa dalam hikayat kariernya, Misha tetap ada rutin tanggungjawab menguruskan rumah tangga, paling utama menghantar anak ke sekolah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN