DENGKIL – Atlet sukan lasak berpengalaman negara, Saddam Pittli membuktikan dirinya masih berbisa apabila memenangi kategori Elit Lelaki pada saingan Spartan Malaysia 2025 hari ini.
Pelari berusia 34 tahun itu menamatkan larian sejauh 21 kilometer (km) dengan menempuh 30 halangan menerusi catatan masa 1 jam 46 minit 17 saat (s).
Apa yang menarik, kemenangan itu hadir ketika dia kembali menyertai perlumbaan Spartan selepas setahun berehat daripada kejohanan tersebut.
“Sebenarnya hampir setahun saya tidak menyertai Spartan. Banyak ada perlumbaan ini di Thailand dan Filipina tetapi saya tidak pergi kerana ada menyertai pertandingan lain.
“Kali ini apabila diadakan di Kuala Lumpur, saya ambil keputusan untuk sertai kerana mahu bawa nama Malaysia dan memang sasaran adalah menjadi juara,” katanya.
Mengiringi Saddam di podium selepas perlumbaan itu adalah peserta dari Rusia, Oleg Stepanov yang muncul naib juara dengan catatan 1’54:18s diikuti Ludovic Guyonvarch (2’07:48s) dari Singapura.

Dia yang pernah pernah mewakili negara pada temasya Sukan SEA menjelaskan, kejayaan hari ini adalah disebabkan disiplin serta kemahuan tinggi selain mengelak daripada melakukan kesilapan.
“Strategi saya sebenarnya tidak banyak beza, memang kena lari laju dan elakkan gagal di setiap halangan. Kalau gagal, kena buat penalty loop 200 meter (m) setiap satu halangan.
“Saya sasar 1 jam 40 minit tetapi dapat 1 jam 46 minit sebab gagal satu halangan rejam lembing. Untuk halangan itu, saya kena buat 30 burpees dan memakan masa dua minit juga,” ujar Saddam.
Bagi kategori elit wanita, peserta dari Vietnam, Kim Luu Linh muncul juara menerusi catatan masa 2’26:55s diikuti Tatcha Kawashima (2’54:01s) dari Thailand di tempat kedua.
Dalam pada itu, Saddam mengakui populariti sukan ekstrem itu semakin meningkat di Malaysia selain memberi peluang kepada lebih ramai atlet menguji ketahanan diri. – KOSMO! ONLINE