ALOR GAJAH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan rondaan di sekolah dalam masa terdekat bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang semalam bagi menangani kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka di sekolah.
Menurutnya, KDN telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk membuat persiapan rapi termasuk merangka jadual lawatan anggota polis sebelum strategi baharu itu dilaksanakan dengan kadar segera.
“Pelaksanaan strategi berkenaan akan diselaraskan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)bagi mengenal pasti sekolah berisiko dan menentukan kawasan yang memerlukan rondaan lebih kerap.
“Setiap sekolah berdepan cabaran berbeza termasuk ponteng, gangsterisme dan masalah sosial lain, justeru bentuk rondaan dan pendekatan keselamatan akan disesuaikan mengikut keperluan setempat,”katanya ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) 2025 dan pelancaran Sistem eRoses 2.0 di sini hari ini.
Saifuddin menjelaskan, keberadaan anggota polis di sekolah bukan sekadar menandatangani buku lawatan, sebaliknya turut terlibat dalam aktiviti sekolah termasuk menjalankan sesi bimbingan dan khidmat nasihat kepada pelajar yang berdepan masalah disiplin. – KOSMO! ONLINE