SEREMBAN – Negeri Sembilan FC (NSFC) tumbang di laman sendiri selepas tewas kepada Selangor FC, 0-4, dalam saingan pusingan pertama suku akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi.
Seramai 25,550 penonton yang memenuhi stadium menyaksikan bagaimana Selangor FC membenam pasukan tuan rumah dengan jaringan besar.
Penyerang sensasi Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim muncul wira apabila menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke-33 dan 62 permainan dan mencipta satu gol.
Memasuki separuh masa kedua, Selangor FC terus mempamerkan keupayaan membolos kubu pertahanan tuan rumah.
Hasilnya, Chrigor Flores Moraes menjaringkan gol kedua pelawat hanya dua minit selepas perlawanan separuh masa kedua bermula.
Selangor FC terus melebarkan jaringan pada minit ke-55 melalui pemain tengah, Zac Clough yang menanduk masuk bola hantaran Faisal dari kanan gol tuan rumah.
Empat jaringan itu meletakkan Selangor FC pada kedudukan selesa ketika melayan kunjungan NSFC di Petaling Jaya pada pusingan kedua pada 29 Oktober kelak. – KOSMO! ONLINE