JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Cilacap, wilayah Jawa Tengah mengundang perhatian ramai apabila menganjurkan pertandingan menangkap pencuri dan menawarkan hadiah wang tunai, lapor portal berita Tribunnews.
Pertandingan dinamakan ‘Tangkap Maling Berhadiah’ itu diadakan di Dusun Ciawitali.
Individu yang berjaya menangkap pencuri pada waktu siang akan menerima wang sebanyak 300,000 rupiah (RM77), manakala waktu malam akan diberi ganjaran 500,000 rupiah (RM128).
Bagaimanapun, setiap tangkapan mesti disertakan dengan barang yang dicuri.
“Dalam tiga bulan kebelakangan ini, sudah ada lima kes kecurian. Yang pertama adalah beras, kemudian itik. Kecurian terakhir pula berlaku minggu lepas.
“Pertandingan ini dianjurkan bagi menyemarakkan semangat warga setempat untuk menjaga keselamatan kampung dan mengurangkan kes kecurian,” kata seorang penduduk dikenali sebagai Arif. – AGENSI