BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah mengakui kekalahan mereka seawal pusingan kedua Terbuka Denmark berpunca daripada hilang fokus dan kegagalan menyesuaikan diri dengan corak permainan pantas lawan.
Pasangan No. 2 dunia itu tersingkir selepas tewas mengejut kepada gandingan baharu Jepun, Arisa Igarashi-Chiharu Shida 18-21, 9-21 dalam tempoh hanya 35 minit di Arena Fyn, Odense kelmarin.
Menurut Pearly, rentak tidak konsisten selain kesilapan mudah menjadi punca utama mereka gagal memberikan tentangan seperti dijangkakan.
“Saya hilang fokus dan banyak melakukan kesilapan mudah. Saya cuba ingatkan diri supaya bangkit semula, tetapi lawan terlalu agresif dan itu menyebabkan kami sukar mencari semula rentak permainan,” katanya.
Sementara itu, Thinaah mengakui mereka berdepan cabaran luar jangka menentang gandingan baharu Jepun tersebut yang disifatkannya mempunyai kekuatan tersendiri hasil kombinasi gaya berbeza.
“Ini kali pertama kami menentang mereka dan beberapa pukulan mereka benar-benar menekan kami, terutama di penghujung set. Mereka pasangan baharu yang mempunyai gaya tersendiri, jadi ia agak mencabar,” kata Thinaah.
Jelasnya, pengalaman pertemuan kali ini menjadi pengajaran penting untuk memperbaiki strategi dan komunikasi menjelang kejohanan seterusnya.
“Kami perlu berbincang semula mengenai strategi dan pemulihan selepas ini. Lawan mereka beraksi baik hari ini, jadi kami kena bersedia dengan lebih rapi lain kali,” ujarnya.
Kekalahan itu sekali gus menamatkan rentetan cemerlang Pearly-Thinaah yang baru menjuarai Terbuka Arctic minggu lalu dan muncul naib juara dunia pada Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE