JOHOR BAHRU – PAS negeri ini menjangka Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 serta Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 akan diadakan serentak dan lebih awal, iaitu tahun depan.
Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, pihaknya mendapat maklumat pilihan raya tersebut mungkin diadakan seawal selepas sambutan Hari Raya Haji atau pada hujung tahun.
Dakwanya, khabar angin itu diterima selepas terdapat permintaan daripada DAP kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar PRU ke-16 diadakan serentak dengan PRN Johor ke-16.
“Jika benar, ini perkara yang baik kerana ia dapat mengurangkan kos. Sehubungan itu, jentera PAS dengan keahlian seramai lebih 40,000 ahli dengan 26,000 ahli aktif akan mula digerakkan bagi menyantuni masyarakat di pelbagai peringkat.
“Walaupun belum ada perbincangan rasmi, namun PAS Johor berharap jumlah 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 4 kerusi Parlimen yang ditandinginya pihaknya boleh ditambah pada masa depan.
“Permintaan ini susulan keyakinan kami untuk memenangi lebih banyak kerusi serta kerjasama baik yang dijalin bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PAS Johor, di sini hari ini.
Tambah Mahfodz, pihaknya akan mempraktikkan konsep ‘PAS For All’ dengan mendekati pelbagai pihak termasuk parti-parti politik kawan dan seteru serta masyarakat awam yang bukan Muslim sebagai persediaan menghadapi PRN dan PRU akan datang. – KOSMO! ONLINE